Surah Hud, Ayat 8

Dan demi sesungguhnya! Jika kami tangguhkan azab daripada menimpa mereka hingga ke suatu masa yang tertentu, tentulah mereka akan berkata (secara mengejek): Apakah yang menghalangnya? Ketahuilah! Pada hari datangnya azab itu kepada mereka, tidak akan dapat ditolak daripada menimpa mereka dan tentulah mereka akan diliputi oleh azab yang mereka telah ejek-ejek itu.

Surah Hud, Ayat 9

Dan demi sesungguhnya! Jika Kami rasakan manusia sesuatu pemberian rahmat dari Kami kemudian Kami tarik balik pemberian itu daripadanya, mendapati dia amat berputus asa, lagi amat tidak bersyukur.

Surah Hud, Ayat 10

Dan demi sesungguhnya! Kalau Kami memberinya pula kesenangan sesudah dia menderita kesusahan, tentulah dia akan berkata: Telah hilang lenyaplah dariku segala kesusahan yang menimpaku. Sesungguhnya dia (dengan kesenangannya itu) riang gembira, lagi bermegah-megah (kepada orang ramai).

Surah Hud, Ayat 12

Jangan-jangan engkau (wahai Muhammad) tidak menyampaikan sebahagian dari apa yang diwahyukan kepadamu serta merasa sempit dada untuk menyampaikannya disebabkan orang-orang yang ingkar itu berkata: Mengapa tidak diturunkan kepada (Muhammad) perbendaharaan (harta benda yang banyak) ataupun datang bersama-sama dengannya malaikat (untuk menolongnya menyiarkan Islam)? Kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang Rasul pemberi amaran kepada orang-orang yang ingkar dan Allah jualah Pentadbir yang menguruskan tiap-tiap sesuatu (maka berserahlah diri kepadaNya).

Surah Hud, Ayat 13

Bukan itu sahaja kata-kata mereka bahkan mereka menuduh dengan mengatakan: Ia (Muhammad) yang mereka-reka Al-Quran itu!. Katakanlah (wahai Muhammad): (Jika demikian tuduhan kamu), maka cubalah buat serta datangkan sepuluh surah rekaan yang sebanding dengan Al-Quran itu dan panggillah siapa sahaja yang kamu sanggup memanggilnya, yang lain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.

Surah Hud, Ayat 14

Oleh itu, jika mereka (penolong-penolong kamu) tidak dapat melaksanakan permintaan kamu (untuk membuat surah-surah yang sebanding dengan Al-Quran), maka ketahuilah bahawa Al-Quran itu diturunkan hanyalah menurut pengetahuan Allah dan bahawa tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah. Setelah (terbukti hakikat yang demikian) maka adakah kamu mengakui Islam dan menurut aturannya?